Alhamdulillah, segala puji dan syukur kita panjatkan ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita diberi kesempatan untuk melaksanakan Mesyuarat Agung Perwakilan KUTMB bagi tahun 2025. Setinggi-tinggi kesyukuran juga saya panjatkan kerana pada tahun ini, KUTMB telah berjaya beralih kepada fasa keuntungan terkumpul. Ini adalah hasil usaha gigih semua pihak serta kerja keras yang tidak berbelah bahagi daripada barisan kepimpinan dan pengurusan KUTMB. Dengan izin dan restu Allah S.W.T., segala usaha ini akhirnya membuahkan hasil yang sangat bermakna. Sehubungan dengan itu, barisan Ahli Lembaga amat berbesar hati untuk meningkatkan agihan kepada kumpulan-kumpulan wang sebagai langkah menambah baik kebajikan kepada para anggota, khususnya kepada mereka yang masih setia bersama KUTMB.
Bagi tahun ini juga, kita mengharapkan agar permohonan bayaran dividen akan diluluskan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia. Cadangan yang akan dibawa ke Mesyuarat Agung Perwakilan kali ini adalah bayaran dividen sebanyak 10% ke atas modal syer dan 1% ke atas modal caruman. Ini merupakan antara hasrat utama kami di barisan kepimpinan agar para anggota mendapat faedah daripada setiap sen yang telah dilaburkan dalam koperasi. Saya ingin menegaskan bahawa KUTMB tidak akan sesekali berputus asa dalam usaha memulihkan prestasi masa lalu. Segala cabaran dan rintangan yang telah dilalui seharusnya menjadi pengajaran dan pemangkin untuk kita menjadi lebih matang, kreatif dan inovatif, serta mampu menyesuaikan diri dengan situasi semasa agar perniagaan yang diterajui terus berkembang maju dan berdaya saing.
Pada kesempatan ini juga, saya ingin menyeru kepada semua perwakilan dan anggota agar memainkan peranan aktif dalam mempromosikan produk dan perkhidmatan KUTMB. Tanpa sokongan padu daripada semua anggota, mustahil bagi KUTMB untuk terus berdiri kukuh dan mengekalkan kedudukannya dalam Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia. Akhir kata, marilah kita terus berganding bahu dalam memperkukuh
koperasi yang kita kasihi ini. Semoga segala usaha dan niat murni kita sentiasa mendapat keberkatan dan rahmat daripada Allah S.W.T.