PERUTUSAN PENGERUSI
Assalamualaikum Wrh. Wbt.
Yang Berbahagia Tn. Hj. Fadilah bin Salim, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Johor. Yang Dihormati, Barisan Ahli Lembaga Koperasi UTM Bhd, Para Perwakilan Dan Anggota Koperasi UTM Bhd.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah S,W.T yang memberi kesempatan untuk kita melaksanakan mesyuarat Agung Kawasan dan juga Mesyuarat Agung perwakilan 2022. Walaupun mesyuarat pada kali ini masih lagi terpaksa diadakan secara atas talian, tetapi Alhamdulillah kita berjaya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
Seperti mana yang telah diketahui oleh semua anggota, tahun 2021 yang lalu adalah merupakan tahun kedua seisi dunia berhadapan dengan pandemik Covid-19. Sebahagian besar indusrti perniagaan terjejas teruk dan sebahagian pula berada dalam situasi yang agak sukar dalam mencari jalan untuk membangunkan semula perniagaan. Bagaimana pun kita harus tetap bersyukur kerana KUTMB masih lagi dapat menjana keuntungan semasa walaupun peratus keuntungan merosot.
Pada masa ini KUTMB juga masih lagi dalam proses untuk mengurangkan kerugian terkumpul yang dibawa dari tahun-tahun sebelumnya. Walaupun tiada peningkatan bagi keuntungan semasa tahun 2021, tetapi KUTMB masih dapat mengekalkan keuntungan sebelum pembahagian. Oleh itu, pada tahun ini juga, barisan ahli lembaga dengan sukacitanya berhasrat untuk meningkatkan agihan kepada kumpulan-kumpulan wang bagi memberikan kebajikan kepada anggota khususnya yang masih setia bersama koperasi.
Kita juga mengharapkan agar pada tahun ini, permohonan bayaran dividen akan diluluskan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia setelah cadangan bayaran 5% dibawa ke Mesyuarat Agung Perwakilan. Adalah menjadi hasrat kami yang berada di barisan pimpinan KUTMB ini, agar anggota dapat menikmati faedah atas setiap sen yang dilaburkan dalam koperasi.
KUTMB juga tidak akan patah semangat dalam memulihkan kembali prestasi masa lalu. Pelbagai rintangan yang berlaku seharusnya menjadikan tenaga pengurusan lebih matang, kreatif dan inovatif serta dapat mengadaptasi diri mengikut situasi semasa agar perniagaan yang diterajui dapat terus bergerak maju.
Pada kesempatan ini juga saya menyeru agar para perwakilan dan anggota turut mengambil bahagian yang aktif dalam mempromosikan lagi produk dan perkhimatan KUTMB. Tanpa sokongan semua anggota, tidak mungkin KUTMB dapat berdiri kukuh dan mengekalkan kedudukannya dalam indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia.